M update, 10/07/2024 – Wanita yang nyaris maut dirempuh balak yang terjatuh di persimpangan lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, Gua Musang semalam kini ditidurkan sebelum menjalani pembedahan.
Mangsa, Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, kini dalam pemantauan rapi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) akibat patah tulang punggung dan rusuk akibat dirempuh balak berkenaan. Selain itu, mangsa juga mengalami kecederaan teruk di bahagian hati, limpa, hempedu dan usus.
Abang mangsa, Mohamad Azwa, 28, berkata, adiknya ditidurkan sejak petang semalam ketika dalam rawatan di Hospital Gua Musang. Katanya, adiknya dihantar ke HRPZ petang semalam untuk rawatan lanjut dan dalam pengawasan rapi doktor.
“Doktor memaklumkan akan buat pembedahan untuk tulang belakang, punggung, tulang rusuk, hati, limpa, paru-paru dan hempedu yang mengalami luka teruk.
“Sekarang ini doktor tengah merawat bahagian usus dan kemungkinan akan ada masalah juga. Buat masa sekarang ini semangat adik saya sangat kuat apabila dia tengah lawan sakitnya.
Menurut abang mangsa lagi, mengikut perancangan adiknya akan melangsungkan perkahwinan bersama pasangannya pada Disember ini.
“Semoga ada keajaiban supaya adik akan sembuh kembali dan kami sekeluarga mengharapkan doa orang ramai.