Input your search keywords and press Enter.

Perdana Menteri Tiba Di Doha Untuk Lawatan Rasmi 3 Hari

Foto: Ihsan Twitter Anwar Ibrahim

M Update, 13/05/2024 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Doha pagi tadi untuk memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Qatar bermula 12 hingga 14 Mei bagi memenuhi undangan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dan menghadiri Forum Ekonomi Qatar 2024. 

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha pada kira-kira 9.37 malam Ahad waktu tempatan (2.37 pagi Isnin waktu Malaysia).

Ketibaan Anwar dan delegasi disambut oleh Timbalan Menteri Luar Negeri Qatar Sultan bin Saad Al Muraikhi bersama-sama Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan serta Duta Besar Malaysia ke Qatar Zamshari Shaharan.

Foto: Ihsan Twitter Anwar Ibrahim

Jadual yang padat menanti Perdana Menteri hari ini bermula dengan majlis sambutan rasmi negara pada pukul 10.30 pagi waktu tempatan (3.30 petang waktu Malaysia) oleh kerajaan Qatar di Amiri Diwan.

Anwar turut dijadualkan bertemu rakan sejawatnya iaitu Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, yang juga Menteri Luar Negeri Qatar. Pertemuan kedua Anwar dan Sheikh Mohammed ini selepas masing-masing bertemu di Riyadh akhir bulan lalu, dilihat signifikan dalam konteks berkaitan konflik Palestin-Israel. 

Foto: Ihsan Twitter Anwar Ibrahim

Beliau juga akan menyampaikan syarahan umum di Perpustakaan Kebangsaan Qatar dan bertemu dengan kira-kira 400 hingga 500 rakyat Malaysia yang menetap di negara itu.

Perdana Menteri menerusi hantaran di laman sosial X juga memaklumkan beliau akan menghadiri Forum Ekonomi Qatar serta merasmikan kampus cawangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Doha.