M Update, 17/07/2024 – Gejala Islamofobia perlu ditangani secara tuntas dan berkesan dengan melibatkan usaha pelbagai pihak bagi meluruskan persepsi yang berakar daripada xenofobia dan kejahilan, di samping membetulkan kaedah pengajaran Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pandangan itu disepakati pada pertemuan dan wacana beliau bersama sarjana dan pemikir tempatan serta luar negara seperti Azerbaijan, Bosnia, England dan Turkiye di Seri Perdana, Putrajaya petang semalam.
“Perbincangan adalah bagi mengupas pelbagai perkara terkait permasalahan umat yang kian meruncing.”Usaha memupuk empati dan persefahaman antara agama dan budaya berbeza harus terus dimantapkan dan akan didukung kerajaan,” kata Anwar dalam catatan menerusi Facebook hari ini.
Pertemuan berkenaan turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada pemikir Pusat Dasar Pascanormal dan Kajian Masa Hadapan (CPPFS), International Institute of Islamic Thought (IIIT) dan ISTAC-IIUM atas kerja keras yang dilakukan dalam memastikan usaha bersama tidak sekadar berlegar dalam forum atau persidangan, tetapi turut mengambil langkah konkrit berdepan dengan sistem menerusi pendidikan.- Bernama