Input your search keywords and press Enter.

Pembunuh Nur Farah Kartini Didakwa Esok

M Update, 25/07/2024 – Anggota polis yang ditahan berkait pembunuhan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah, akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, ketika mengesahkan perkara itu berkata, suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

“Ya, suspek akan dituduh esok mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ringkas.

Difahamkan, pertuduhan ke atas anggota polis berpangkat Lans Koperal itu akan dijalankan di Mahkamah Kuala Kubu Bharu pagi esok.

Pada 15 Julai, media melaporkan mayat Nur Farah Kartini, 25, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang.

Penemuan mayat mangsa adalah hasil soal siasat ke atas suspek yang juga kenalan kepada mangsa.

Suspek direman selama tujuh hari bermula 16 Julai hingga 22 Julai sebelum tempoh reman ke atasnya disambung tujuh hari lagi sehingga 29 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis Perak mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya yang bertugas di Balai Polis Slim River, Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.

Suspek yang berasal dari Melaka juga sudah mendirikan rumah tangga. – BH