M Update, 30/07/2024 – Perceraian dalam Islam sepatutnya berlaku secara berakhlak, di hadapan hakim Mahkamah Syariah dan bukannya menerusi cara lain termasuk ketika sedang bersiaran langsung di media sosial.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata ini kerana perkahwinan adalah satu amalan yang sangat besar kepada Islam dan mengkehendaki supaya satu-satu perkahwinan itu berlangsung secara tenang, aman dan bahagia. Katanya, jika berlaku perselisihan faham atau perbalahan ia perlu diselesaikan secara baik seperti yang dianjurkan Islam.
“Ini berikutan ketika nak berkahwin dulu, kita menggunakan cara Islam termasuk orang tengah dengan ada pertunangan, risikan dan langkah-langkah awal yang diambil sebelum kita kahwin.
“Jadi untuk berpisah ini, sama… kalau jalan terakhirnya perlu kepada bercerai maka bercerai secara berakhlak seperti yang dianjurkan oleh Islam. Namun, kita masih bersaudara dan menjalin ukhwah Islamiah serta tidak perlu bermasam muka,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa kes perceraian yang berlaku ketika sedang bersiaran langsung termasuk terbaru membabitkan peniaga kosmetik dalam talian.
Peniaga kosmetik berusia 37 tahun itu diceraikan dengan talak satu oleh suaminya yang berusia 40-an ketika wanita itu sedang bersiaran langsung di TikTok, Rabu lalu.
Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, dalam konteks sekarang, mereka yang mahu bercerai perlu menghadirkan diri bersama-sama di depan hakim Mahkamah Syariah untuk mohon perceraian.
“Kenapa hal begini (bercerai) kita nak hebohkan kerana kita bimbang perkara tidak baik ini akan menjadi perkara biasa dan ikutan. Orang kata dia bercerai dan kita pun nak bercerai. Jadi perkara ini seolah-olah menjadi galakan untuk bercerai. Sebab itu bercerai dalam talian dan dihebohkan ini adalah satu tindakan yang tidak wajar dan tidak dikehendaki oleh agama.
“Kalau perkara yang baik memang kita perlu hebohkan dan perkara yang negatif ini tidak perlu dihebohkan,” katanya.
Beliau menasihatkan jika ada kebuntuan dalam perkahwinan jangan cepat membuat keputusan untuk bercerai kerana banyak langkah perlu diambil terlebih dahulu.