Input your search keywords and press Enter.

Jauhi Kawasan Tanah Jerlus Jalan Masjid India – Polis

M Update, 05/09/2024 – Polis memberi amaran kepada orang awam agar tidak menghampiri, meninjau dan membuat kandungan media sosial di kawasan tanah jerlus di Jalan Masjid India dekat sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, beliau telah mengarahkan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk menempatkan anggota berkawal di kawasan terbabit supaya kerja-kerja agensi lain tidak terganggu.

“Kita tidak mahu orang ramai pergi meninjau dan buat ‘content’ TikTok di kawasan tanah jerlus terbabit, kalau boleh jauhi terus tempat itu.

“Kita ingatkan orang ramai bahawa tempat ini masih dalam kawalan pihak polis dan jangan bahayakan diri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Khamis.

Dalam insiden pada 23 Ogos lalu, seorang pelancong dari India, G Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh akibat kejadian tanah jerlus ketika berjalan kaki di lokasi terbabit.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita terbabit bermula sejak 23 Ogos dan ditamatkan sembilan hari kemudian selepas kerajaan mengkaji semula laporan daripada semua agensi berkaitan operasi berkenaan.