Input your search keywords and press Enter.

Pukul ‘Bodyguard’ Puasa: Majikan, Pembantu Peribadi Mengaku Tidak Bersalah

M Update, 22/04/2021 – Seorang majikan bersama pembantu peribadinya masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis berhubung pertuduhan mencederakan dua pengawal peribadi minggu lalu.

Chung Chee Yang, 43, dan pembantunya, Choo Hin Voon, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret P Sarulatha. Chee Yang yang tiba di mahkamah dengan memakai baju T berkolar biru manakala Hin Voon berbaju T putih pada jam 9.10 pagi, didakwa masing-masing atas lima dan dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, Chee Yang didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Mohd Azminizam Zulkepli, 44, iaitu ugutan hendak menyebabkan kecederaan parah menggunakan pistol. Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa bersubahat dengan Hin Voon, iaitu mengarahkannya untuk mencederakan Ahmad Shamsuri Zailani, 27 dan Mohd Azminizam, dengan menggunakan rotan. Kali ini pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 324 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa mengeluarkan perkataan-perkataan seperti puasa dan ALLAH, yang mana ia boleh didengar oleh Ahmad Shamsuri, dengan niat melukakan perasaan keagamaan orang tersebut. Dia didakwa di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kelima, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam. Pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di luar halaman rumah, di Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi di sini, antara jam 10.30 hingga 11.30 malam, 13 April lalu.

Sementara itu, Hin Voon, didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri, dengan menggunakan rotan di lokasi, waktu dan tarikh sama. Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 kanun sama yang membawa hukuman sama, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman mencadangkan Chee Yang diberi ikat jamin sebanyak RM200,000 manakala Hin Voon, RM100,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis sekali sebulan.

“Kadar itu sangat munasabah kerana kedua-dua tertuduh adalah seorang peniaga. Malah mengambil kira kepentingan awam, memandangkan kes ini mendapat liputan meluas seluruh negara,” katanya.

Bagaimanapun, Chee Yang yang diwakili peguam, Abdul Hakeem Aiman manakala Loi Yap Loong bagi pihak Hin Voon, merayu agar kadar berkenaan dikurangkan atas faktor tahap kesihatan anak guam serta tanggungan keluarga. Abdul Hakeem berkata, kadar yang dicadangkan itu adalah tidak munasabah, keterlaluan dan bersifat menghukum.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Sarulatha membenarkan Chee Yang diikat jamin sebanyak RM50,000 manakala Hin Voon sebanyak RM20,000 dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 23 Jun depan. – SH Online