M Update, 15/10/2024 – Kerajaan mewujudkan lebih 20 pusat rehabilitasi di seluruh negara bagi menempatkan ahli-ahli GISBH untuk menyertai Program Rehabilitasi secara sukarela.
Pusat yang dikendalikan bersama oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta beberapa agensi terbabit dalam isu itu adalah inisiatif kerajaan dalam usaha membimbing mereka untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar.
Program ini akan dilaksanakan secara berperingkat selama tiga bulan atau 90 hari di beberapa pusat latihan kerajaan terpilih selain disediakan penginapan, makan dan minum sepanjang tempoh itu berlangsung.
Bagi mencapai matlamat ini, semua ahli GISBH yang berada di seluruh negara tidak kira di Sabah atau Sarawak dijemput menyertainya untuk menjalani latihan kemahiran secara komprehensif serta pemulihan dari aspek akidah, syariah, pendidikan, kesihatan dan kenegaraan.
Bagi ahli-ahli yang berkeluarga, mereka juga tidak akan dipisahkan dan kerajaan akan berusaha untuk menyediakan penginapan tinggal bersama.
Sehubungan itu, semua ahli GISBH di seluruh negara diseru supaya mendaftar program ini bagi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih lestari.
Pendaftaran akan dibuka secara dalam talian selama 30 hari bermula semalam sehingga 14 November dan ahli GISBH yang ingin mendaftar boleh melayari https://form.jotform.com/242760538389468.
Mereka yang memerlukan bantuan pendaftaran pula boleh menghubungi pusat panggilan Jakim di talian 03-88707294/7295/7296 atau Bilik Situasi Pusat Pengurusan Operasi Negara (PPON) MKN di talian 03-88880733 atau mendaftar di Jabatan Agama Islam Negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah.
Selain itu, ahli-ahli GISBH juga boleh membuat laporan polis sekiranya mereka mendapat ancaman atau ugutan untuk menyertai program ini.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Baharuddin Ahmad berkata untuk permulaan program, pihaknya akan menumpukan kepada pemilihan peserta yang berada di dalam negara namun pendafraran juga boleh dilakukan oleh ahli GISBH yang berada di luar negara.
Jika ada yang menerima ancaman daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, sila buat laporan polis di mana-mana balai polis yang berdekatan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut pihak polis,” katanya.