M Update, 21/11/2024 – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan semua pengendali bas menghentikan sementara penggunaan soket elektrik 3-pin di dalam bas susulan kematian seorang remaja berumur 18 tahun maut akibat renjatan elektrik, baru-baru ini.
Arahan serta-merta yang dikeluarkan pada 6 November lalu berkuatkuasa sehingga polisi dan garis panduan pendawaian tambahan yang baharu dikeluarkan oleh MOT.
Mengulas lanjut, Loke berkata APAD juga mengambil langkah segera dengan mewajibkan syarikat pengendali bas baharu dan sedia ada untuk mengemukakan keputusan laporan atau sijil berkaitan pemeriksaan pendawaian tambahan oleh badan pemeriksaan dan pengujian yang telah diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia.
Selain itu, pendawaian dan kelengkapan elektrik tambahan seperti kabel, soket alur keluar, peranti arus baki dan lain-lain yang digunakan oleh semua kenderaan perdagangan perlu mempunyai pensijilan standard piawaian yang diiktiraf oleh badan pemeriksaan dan pengujian yang telah diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia.
Sementara itu, satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kemalangan maut melibatkan seorang remaja berusia 18 tahun akibat renjatan elektrik dalam sebuah bas ekspres pada 1 November 2024.
Pasukan berkenaan melibatkan beberapa agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), MIROS, Suruhanjaya Tenaga (ST), SIRIM, dan PUSPAKOM, mendapati pendawaian elektrik pada bas tersebut tidak teratur serta menggunakan kelengkapan elektrik yang tidak memenuhi piawaian.
Menurut siasatan, pendawaian dilakukan oleh pihak tidak bertauliah dan pemasangan dari kotak pengagihan (DB) ke soket dilakukan secara terbalik.
Pada 1 November lalu, seorang remaja lelaki dilaporkan maut dengan tangan kirinya melecur akibat terkena renjatan elektrik semasa mengecas telefon bimbitnya di soket sebuah bas ekspres dalam kejadian di Terminal bas Penang Sentral.
Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, menaiki bas berkenaan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.