Input your search keywords and press Enter.

Wanita Berseluar Pendek Berang Tak Dibenar Masuk Balai

Foto Sekadar Hiasan

M Update, 31/01/2023 – Wanita bertindak melakukan provokasi terhadap anggota polis akibat tidak berpuas hati selepas tidak dibenarkan masuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, semalam kerana memakai pakaian tidak bersesuaian.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, wanita berusia 30-an itu datang ke IPD Kajang pada 10.30 pagi untuk membuat laporan polis berkaitan kes kemalangan jalan raya.

“Anggota sentri bertugas memaklumkan supaya wanita itu meletakkan kenderaannya di belakang IPD Kajang disebabkan tempat letak kereta tidak mencukupi.

“Ketika itu, anggota sentri mendapati wanita berkenaan memakai seluar pendek paras paha (di atas paras lutut) lalu menasihatinya memakai pakaian bersesuaian jika mahu berurusan di premis kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, wanita itu bagaimanapun tidak berpuas hati dan enggan mengikut arahan serta dan memprovokasi anggota bertugas.

“Anggota sentri sekali lagi menasihatinya secara berhemah dan meminta dia menukar seluar yang lebih bersesuaian jika ingin berurusan di balai polis. Wanita itu dilihat memandu keluar dari IPD sebelum datang semula kira-kira 15 hingga 20 minit kemudian bersama dua rakannya dengan memakai seluar panjang,” katanya.

Katanya, dakwaan wanita itu dilarang masuk ke dalam kawasan IPD Kajang walaupun sudah memakai seluar bersesuaian turut ditularkan menerusi laporan dikeluarkan sebuah portal berita.

“Pemakaian seluar panjang oleh wanita itu dalam gambar yang tular di portal berita berkenaan adalah selepas dia menukar seluar (lain) sebaik dinasihatkan oleh anggota bertugas. Untuk makluman, IPD Kajang berurusan dengan anggaran 300 orang sehari dan setakat ini, tiada apa-apa isu yang timbul mengenai pakaian.

Malah, gambar etika pakaian pelawat ketika berurusan dalam premis kerajaan juga dilekatkan pada Pos Kawalan sebagai rujukan. – Harian Metro