M Update, 02/12/2024 – Trak-trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkapasiti tujuh, lima dan tiga tan telah diatur gerak ke tiga negeri teruk terjejas banjir untuk membawa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke asrama serta pusat peperiksaan, sejak semalam.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia bagi memastikan calon di Kelantan, Terengganu dan Kedah boleh berada di pusat peperiksaan terbabit pada waktu ditetapkan.
Ahmad Zahid berkata, terdapat 3,011 calon di Kelantan, 1,734 di Terengganu dan 532 di Kedah yang akan menduduki peperiksaan itu mulai hari ini.
Sementara itu, katanya terdapat 174 sekolah di seluruh negara yang terjejas akibat banjir dengan Kelantan paling tinggi jumlah terjejas iaitu 80 sekolah. Manakala, di Terengganu, sebanyak 62 sekolah terjejas manakala 14 sekolah di Kedah turut terjejas akibat bencana itu.
Beliau berkata, sebanyak 396 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan sekolah telah dibuka di seluruh negara setakat ini.
Mengenai Bantuan Wang Ihsan RM1,000 untuk ketua isi rumah (KIR) yang terjejas banjir pula, Ahmad Zahid memaklumkan setakat ini, seramai 43,000 KIR dikenal pasti layak menerima bantuan berkenaan membabitkan peruntukan RM4.3 juta.
Walaupun sebelum ini syarat menetapkan hanya mangsa yang berpindah ke PPS berdaftar layak mendapat bantuan itu, beliau menjelaskan atas keprihatinan kerajaan, mangsa berpindah ke PPS baru dibuka juga diberikan bantuan berkenaan. – Bernama