Input your search keywords and press Enter.

Dera Bayi: ‘Saya Mengaku Bersalah, Hari Ini Hari Nikah Saya’ – Guru Taska

Foto Hiasan

M Update, 20/12/2024 – Seorang guru di Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Klang atas tuduhan mendera seorang bayi lelaki di sebuah TASKA di Puncak Alam, minggu lalu.

“Saya mengaku bersalah dan janji tak buat lagi. Hari ini, hari nikah saya, esok hari sanding.”

Itu rayuan seorang guru taska yang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi mengurangkan jaminan atas tuduhan mendera seorang bayi lelaki.

Nur Suhadah Saharudin, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohamed Redza.

Bagaimanapun tarikh sebutan fakta kes dan jatuh hukum ditetapkan pada 24 Disember di Mahkamah Kuala Selangor.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa menganiaya seorang bayi lelaki berumur 11 bulan itu dengan mencubit pipi dan telinga sehingga mendatangkan kecederaan fizikal. Perbuatan itu dilakukan pada 13 Disember lalu kira-kira jam 6.15 petang di taska yang terletak di Puncak Alam.

Tertuduh tidak diwakili peguam merayu jaminan terhadapnya dikurangkan atas kesalahan itu.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa.