Input your search keywords and press Enter.

Keselamatan Pelancong Malaysia Ke Thailand Terjamin

Foto Hiasan

M update, 23/12/2024 – Rakyat Malaysia tidak perlu terlalu bimbang mengenai keselamatan mereka ketika melancong ke Thailand kerana pihak berkuasa negara ini memastikan keselamatan mereka terjamin.

Komander Tentera Bahagian Keempat Thailand, Leftenan Jeneral Paisan Nusang, berkata tentera akan mengetatkan langkah keselamatan di semua wilayah termasuk di selatan iaitu Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla dan Hatyai.

Bercakap kepada media Malaysia semalam, Paisan berkata, sekatan jalan raya akan dipergiatkan untuk memastikan keselamatan pelancong antarabangsa terutama di musim cuti Hari Krismas dan sambutan Tahun Baru.

“Saya ingin menyatakan bahawa pihak berkuasa Thailand akan memastikan keselamatan pelancong Malaysia terjamin ketika berada di sini. Kawalan keselamatan akan ditingkatkan sempena cuti Hari Krismas dan sambutan Tahun Baru,” katanya.

Paisan berkata, pemeriksaan di laluan haram di sempadan Thailand dan Malaysia akan juga dipertingkatkan.

“Selain mengawal sekatan jalan raya, tentera juga diarahkan melakukan pemeriksaan ketat di sempadan kedua-dua negara sama ada di laluan sah ataupun laluan haram,” katanya.

Mengakui Thailand sebagai antara destinasi pelancongan pilihan utama rakyat Malaysia, beliau berkata rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga keselamatan diri.

Beribu rakyat Malaysia termasuk dari Kelantan akan berkunjung ke Thailand apabila tibanya cuti sekolah mahupun cuti perayaan.