Input your search keywords and press Enter.

37 PJH Dilantik Dilarang Promosi Visa Mujamalah, Furada

M Update, 24/12/2024 – Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesen di bawah Lembaga Tabung Haji tidak dibenarkan mempromosikan pakej visa mujamalah atau furada.

Ini antara syarat ditetapkan TH kepada PJH dengan mengambil kira banyak kes penipuan membabitkan visa berkenaan.

Visa mujamalah atau visa furada ini memang ada, cuma ia dikeluarkan kepada individu atau organisasi tertentu. Ia biasanya dikeluarkan di saat akhir, biasanya di penghujung bulan Syawal atau pada Zulkaedah.

PJH tidak dibenarkan untuk membuat promosi berkaitan visa ini kerana tidak ada ketentuan dalam mendapatkan visa terbabit. Kuota Malaysia yang tetap adalah 31,600, tetapi visa furada ini, tak ada ketentuan (jumlah akan dikeluarkan), jadi adalah lebih baik tidak diiklankan. – Ketua Jabatan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Mohd Hisham Harun

Visa mujamalah ialah visa yang dianugerahkan setiap tahun oleh kerajaan Arab Saudi kepada orang-orang tertentu, individu mempunyai kedudukan dalam masyarakat dan kementerian di Malaysia.

Mohd Hisham turut meminta orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sebarang iklan atau promosi kononnya menawarkan visa mujamalah atau furada.

Oleh itu, sekiranya nanti ada jemaah Malaysia yang dapat tawaran visa mujamalah atau furada, pilihlah untuk berdaftar dengan PJH untuk mengelakkan tertipu. Ini saluran terbaik supaya kebajikan jemaah dapat dipantau semasa di tanah suci nanti.

PJH jangan buat promosi visa mujamalah kerana visa ini selalu disalah guna menyebabkan jemaah terkandas di lapangan terbang atau luar Malaysia dan ini akan menyusahkan orang ramai.

Selain itu, orang ramai diseru supaya membuat laporan kepada TH sekiranya mengesan sebarang iklan berkaitan visa mujamalah atau furada.