M Update, 31/12/2024 – Kegiatan kumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sesuka hati meminta wang kepada setiap pemandu yang hendak meletakkan kenderaan di sekitar ibu negara ditumpaskan pada Isnin.
Kegiatan ‘ulat’ parkir itu dipercayai mengenakan caj sekitar RM5 hingga RM10 untuk setiap kenderaan. Difahamkan kegiatan itu dilakukan membabitkan beberapa warga asing di lokasi terbabit dan dibuat secara bergilir-gilir.
Bertindak hasil maklumat, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur melaksanakan Op Kutip KL Strike Force dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Operasi dilaksanakan di dua lokasi iaitu Bukit Bintang dan Jalan Berangan.
Dalam operasi ini, 17 lelaki warga asing berusia lingkungan 20 hingga 30-an ditahan melibatkan 15 orang warga Myanmar dan dua lagi warga Bangladesh. Kesemua PATI ini bekerja sebagai penjaga parkir haram.
Operasi ini dijalankan kurang 24 jam selepas pihak JIM mengesan video tular berhubung rungutan seorang warga tempatan berkenaan kehadiran warga asing yang sesuka hati meminta caj parkir di kawasan awam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti sedemikian diminta menyalurkan maklumat kepada JIM supaya tindakan lanjut dapat diambil.