M Update, 20/01/2025 – Lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian pukul lelaki orang kurang upaya (OKU) di pasar tani, Jumaat lalu direman tiga hari bermula hari ini.
Tahanan reman ke atas suspek berusia 40 tahun itu sehingga 22 Januari, selepas menerima permohonan polis. Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Terdahulu, lelaki itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kemaman pada 11.30 malam tadi.
Media melaporkan, lelaki OKU berusia 47 tahun dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai, kira-kira 9.30 pagi Jumaat lalu, dipercayai selepas motosikal ditunggang terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan makanan dijual terjatuh dan tumpah.
Mangsa kemudian dipukul dipercayai oleh peniaga dan pengunjung pasar terbabit dan susulan itu polis menahan lima lelaki berusia 18 hingga 60 tahun untuk siasatan lanjut.
Pihak polis masih lagi mengesan beberapa individu bagi membantu siasatan. Selain itu, pihak polis turut memanggil seberapa saksi lain untuk diambil keterangan, termasuk ahli keluarga mangsa.
Orang ramai diingatkan agar tidak terus menularkan video kejadian berkenaan serta memberi komen negatif hingga menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.