Input your search keywords and press Enter.

Sabah Benarkan Solat Aidiladha, Ibadah Korban Dalam Tempoh PKP

M Update, 24/06/2021 – Kerajaan Sabah membenarkan solat sunat Aidiladha dan ibadah korban dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Masidi yang juga jurucakap rasmi kerajaan negeri mengenai Covid-19 dalam kenyataan malam Rabu, bagaimanapun berkata kebenaran tersebut tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) PKP bagi mengekang penularan pandemik tersebut.

Katanya, solat sunat Aidiladha dibenarkan dengan jumlah jemaah satu pertiga daripada kapasiti dewan solat atau 50 orang atau mana-mana lebih rendah, selain jemaah perlu melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 serta mematuhi syarat lain yang ditentukan pihak berkuasa agama negeri tertakluk kepada situasi semasa Covid-19.

Beliau berkata ibadah korban pula dibenarkan kecuali di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa negeri atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Penyembelihan perlu dilakukan di rumah sembelihan, rumah penyembelihan ruminan swasta yang berlesen, selain itu juga dibenarkan diadakan di masjid dan surau serta kawasan lapang seperti balai raya dan dewan namun dengan kebenaran pihak berkuasa yang berkaitan.

Jumlah haiwan sembelihan di masjid dan surau tidak lebih daripada lima ekor sehari kecuali kambing 10 ekor dan pengecualian bilangan haiwan itu diberikan sekiranya diproses di rumah penyembelihan yang dibenarkan,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Masidi berkata jumlah petugas penyembelihan tidak melebihi 20 orang dan telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 selain sihat tubuh badan, dan hanya agihan daging korban secara penghantaran ke kediaman masing-masing dibenarkan.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 129 kes baharu COVID-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 68,029 kes dan jumlah yang sembuh adalah 338 orang menjadikan jumlah kumulatif 65,895 orang.

Katanya, tujuh kematian turut direkodkan hari ini iaitu dua kes di daerah Tawau manakala Sandakan, Kunak, Kudat, Penampang dan Keningau masing-masing mencatatkan satu kes kematian. – Bernama