Input your search keywords and press Enter.

Ops Sky: Ziana Zain, Jalaludin Hasan, Dr Sheikh Muszaphar Hadir Di SPRM

Foto Hiasan

M Update, 06/02/2025 – Tiga selebriti hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram menerusi Op Sky membabitkan syarikat perunding kewangan.

Menurut sumber, tiga selebriti itu terdiri daripada Datuk Jalaluddin Hassan, Siti Roziana Zain atau lebih dikenali Ziana Zain dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha.

Menurut SPRM, ini tidak bermakna mereka dianggap sebagai suspek. Keterangan mereka diperlukan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Ketiga-tiga selebriti itu hadir jam 9.30 pagi mengikut pintu masuk jalan belakang Ibu Pejabat SPRM.

Tinjauan di pintu masuk pagar hadapan pejabat SPRM mendapati lebih 10 pengamal media berkumpul sejak jam 9 pagi bagi membuat liputan namun merasa hampa selepas dilaporkan ketiga-tiga selebriti itu dibawa masuk melalui pintu pagar belakang.

Seramai 12 individu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi termasuk kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin lalu.

Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta satu orang awam.

Terdahulu dilaporkan, siasatan mendapati selebriti dan artis terbabit menerima wang bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat itu bagi tujuan promosi.