Input your search keywords and press Enter.

LIMA’25: Aksi Udara Dan Laut Bermula Hari Ini

Foto: X Datuk Seri Anwar Ibrahim

M Update, 20/05/2025 – Keheningan ruang angkasa Langkawi sekali lagi digegarkan oleh deruman enjin pesawat, manakala lautannya pula beralun megah dengan kehadiran aset-aset pertahanan pelbagai negara yang menyertai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (Lima’25).

Bertemakan “Inovasi Hari Ini Pencapaian Masa Hadapan”, edisi ke-17 Lima membuka tirai malam tadi dengan majlis perasmian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC).

Seawal 8.30 pagi ini, majlis pembukaan dan Opening Gambit Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dengan gimik pelancaran disempurnakan Anwar bersama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ia diikuti pertunjukan aerobatik oleh beberapa negara termasuk Russian Knights dari Rusia yang terkenal dengan persembahan dalam formasi rapat walaupun menggunakan pesawat bersaiz besar.

Selain itu, pasukan Jupiter Aerobatik Team dari Indonesia juga akan menggegarkan ruang angkasa Langkawi dengan aksi manuver terkenal seperti “Jupiter Roll” menggunakan enam pesawat KT-1B Wong Bee dengan corak merah dan putih yang melambangkan bendera negara itu.

Tidak ketinggalan, kehebatan pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang turut menampilkan pesawat pejuang Su-30MKM dengan wajah baharu yang membawa gelaran istimewa ‘Toruk Makto’, mengambil ilham makhluk legenda dalam filem Avatar dikenali sebagai Toruk atau ‘The Last Shadow’.

Pada sebelah petang, Anwar dijadualkan merasmikan acara ‘Maritime Gracing Ceremony‘ di Resorts World Langkawi (RWL) diikuti perbarisan armada atau fleet review Lima’25, iaitu satu pemeriksaan kapal di laut yang menjadi acara tradisi tentera laut seluruh dunia.

Sepanjang lima hari pameran berlangsung, pelbagai demonstrasi udara dan laut yang membabitkan aset ketenteraan pelbagai negara, pameran pesawat pejuang dan helikopter terkini serta penyertaan kapal perang dari pasukan tentera laut serantau akan diadakan.

Secara keseluruhan, sebanyak 57 pesawat udara dan 39 aset pertunjukan maritim dari dalam dan luar negara akan terbabit untuk edisi kali ini termasuk dari Brazil, Perancis, Itali, Singapura, Indonesia dan Amerika Syarikat.

Lima’25 anjuran bersama antara Kementerian Pertahanan dengan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) yang memberi penekanan pada inovasi dan peningkatan daya saing dalam kalangan pemain industri sejajar perkembangan teknologi semasa dan menjadi pameran terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan kali pertama pada 1991. – Bernama