Input your search keywords and press Enter.

Dua Pelajar Unipsas Hafaz 30 Juzuk Al-quran Maut Nahas Dengan Ambulans

Foto: Sinar Harian

M Update, 16/07/2025 – Dua penuntut Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) yang merupakan penghafaz 30 juzuk al-Quran maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah ambulans di persimpangan lampu isyarat berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar, Jalan Kuantan-Gambang, pada Selasa.

Mangsa, Muhammad Zuhair Rifqi Abdul Jalil, pelajar Diploma Pengajian Quran dan Sunnah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala rakannya, Muhammad Firdaus Mohammad Zamri, pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Pentadbiran Kehakiman (Kepujian), meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Dalam satu perkongsian di Facebook rasmi Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UnIPSAS, pihak universiti menzahirkan rasa dukacita dan menyifatkan kehilangan itu sebagai satu ujian besar buat komuniti kampus.

Foto: Sinar Harian

Difahamkan, kemalangan berkenaan dipercayai melibatkan sebuah ambulans milik sebuah syarikat swasta.

Melalui perkongsian itu, Allahyarham Muhammad Zuhair Rifqi dan Muhammad Firdaus dikenali berakhlak baik dan cintakan ilmu agama. Kedua-duanya merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Islam Al-Irsyad sehingga Tingkatan Tiga dan berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Mereka kemudiannya melanjutkan pengajian ke Tahfiz Bestari, Kuliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan sehingga tamat tingkatan lima.

Menurut kenyataan itu lagi, semangat mereka untuk mendalami ilmu al-Quran diteruskan apabila menyambung pengajian di UnIPSAS dalam bidang Diploma Pengajian Quran dan Sunnah dan Ijazah Sarjana Muda Syariah Dengan Pentadbiran Kehakiman (Kepujian).

Foto: Sinar Harian

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, pemandu dan pembantu ambulans turut mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan lanjut di hospital.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis masih menjalankan siasatan dan meminta mana-mana saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.