Input your search keywords and press Enter.

Ibu Tuntut Siasatan Kematian Anak Selepas Latihan Palapes

Foto: Harian Metro

M Update, 01/08/2025 – Ibu kepada seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, menuntut agar siasatan segera dijalankan berhubung kematian anaknya sewaktu menjalani latihan dikendalikan pasukan itu Isnin lalu.

Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, arwah anaknya, Syamsul Haris Shamsudin, 22, meninggal dunia semasa menjalani latihan PALAPES UTM Pulada, Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pulada, Ulu Tiram, Johor dengan sebab kematian yang belum jelas serta meragukan.

Ibu tunggal itu berkata, pemerhatian terhadap jenazah anaknya sewaktu menjalani bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail, Johor mendapati kecederaan teruk pada tubuh jenazah anaknya yang tidak selaras dengan maklumat awal bahawa kematian anaknya berpunca daripada sawan.

Menurutnya, selain pendarahan dalam kuantiti banyak khususnya pada hidung dan mata yang dipercayainya terjadi susulan impak hentakan kuat di kepala, terdapat beberapa kecederaan lain seperti lebam dan luka pada badan termasuk bahagian leher serta bahu anaknya.

Pada mulanya, pihak PALAPES memaklumkan bahawa anaknya meninggal dunia akibat kekejangan dan sawan ketika menjalani latihan pada hari ketiga. Namun, keadaan jenazah yang dilihatnya menunjukkan kecederaan pada tubuh, yang disifatkan sebagai sangat menyayat hati.

Beliau memaklumkan bahawa darah mengalir dengan banyak dari hidung dan mata anaknya serta terdapat kesan lebam pada tubuh yang kelihatan seperti dipukul. Beliau juga menyatakan ketidakpuasan hati terhadap penjelasan pihak PALAPES UTM yang mendakwa keadaan anaknya berpunca daripada sawan hari ini.

Kata Ummu Haiman Bee, susulan itu satu laporan polis dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada semalam (31) Julai bagi menuntut siasatan segera mengenainya dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian Syamsul Haris.

Menurutnya, selepas selesai bedah siasat, laporan yang diterima masih tergantung dengan alasan menunggu keputusan makmal kimia, yang dijangka mengambil masa tiga bulan.

Katanya, kali terakhir mereka berhubung adalah malam sebelum kejadian, apabila anaknya sempat menghantar mesej WhatsApp memaklumkan dia berjaya menjalani latihan menembak dan kelihatan sangat ceria serta bersemangat.

“Saya syak anak saya dicederakan, dipukul atau dibelasah atau dengan kata lain dibunuh oleh mereka yang turut menyertai kem PALAPES berkenaan.

“Saya tidak menuduh sesiapa, cuma saya mahukan kebenaran. Saya minta polis siasat secara menyeluruh dan temu bual semua pelatih yang ada bersama anak saya semasa perkhemahan itu.

Sementara itu, peguam Datuk Naran Singh berkata, keluarga hanya mahu mendapatkan jawapan yang tepat dan siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi memberi keadilan kepada si mati.

“Setiap ibu bapa yang hantar anak ke universiti pastinya mengharapkan anak pulang dalam keadaan selamat. Tetapi dalam kes ini, anak baru menyertai latihan tiga hari, tiba-tiba sudah meninggal dunia,” katanya.

Naran turut menggesa agar laporan bedah siasat dikeluarkan dengan segera memandangkan kematian membabitkan pelajar muda berusia 22 tahun yang sedang mengikuti latihan rasmi.

Jenazah Syamsul Haris dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.