Input your search keywords and press Enter.

PM Tiba Di Ankara Untuk Mulakan Lawatan 4 Hari

M Update, 25/7/2019 – Tun Dr Mahathir Mohamad, tiba di sini untuk memulakan lawatan rasmi empat hari ke Turki.

Perdana Menteri yang diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga di sini, pada jam 7.40 malam waktu tempatan (12.40 pagi waktu Malaysia) malam tadi untuk memulakan lawatan rasmi empat hari ke negara ini.

Dr Mahathir yang menaiki pesawat khas dari Kuala Lumpur, disambut oleh Menteri Industri dan Teknologi Turki, Mustafa Varank dan Gobenor Ankara Vasip Sahin. Kira-kira 15 minit kemudian, pesawat khas yang membawa Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, tiba di lapangan terbang sama, dan kedua-kedua pemimpin kemudiannya mengadakan pertemuan singkat di bilik kenamaan.

Turut berada di lapangan terbang untuk menyambut Perdana Menteri ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Turki, Datuk Abd Razak Abdul Wahab. Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah kemudian dibawa ke hotel penginapan di bandar Ankara, pusat pentadbiran Kerajaan Turki.

Sebaik tiba di hotel penginapan, Dr Mahathir dan isteri disambut oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darrel Leiking serta kakitangan kedutaan.

Pagi ini, acara Dr Mahathir bermula dengan meletakkan kalungan bunga untuk Pengasas dan Presiden pertama Turki, Mustafa Kamal Ataturk di Anitkabir. Ini disusuli lawatan ke Turkish Aerospace Industries (TAI) iaitu kilang membuat drone dan helikopter tempur buatan Turki. – BH Online

Leave a Reply