Input your search keywords and press Enter.

Toleransi beragama, Keselamatan Rumah Ibadat Asas Keharmonian – Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi – Bernama

M Update, 03/02/2026 – Pengukuhan toleransi beragama, pembentukan akhlak serta keselamatan rumah ibadat perlu diberikan perhatian dalam memelihara keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keperluan itu semakin signifikan khususnya di kawasan bandar yang menempatkan pelbagai rumah ibadat sekali gus memerlukan sikap saling menghormati serta adab yang tinggi dalam kalangan rakyat.

Beliau menegaskan kepentingan untuk saling menghormati agama lain bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang harmoni, bertoleransi dan berbilang kaum.

Menjadikan Brickfields sebagai contoh, beliau berkata kawasan itu menempatkan lebih 17 rumah ibadat pelbagai agama termasuk gereja dan kuil.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pembangunan rumah ibadat harus memberikan penekanan seimbang antara aspek fizikal dan pemakmuran fungsi sosial sebagai pusat pertemuan dan aktiviti kemasyarakatan.

Selain itu, beliau berkata umat Islam perlu menunjukkan contoh terbaik menerusi akhlak dan adab dalam menguruskan perbezaan.

Beliau juga menegaskan bahawa prinsip toleransi beragama perlu terus dijunjung sama ada dalam perbezaan sesama umat Islam mahupun dalam hubungan dengan penganut agama lain. – Bernama