
M Update, 04/02/2026 – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Dr. Malik Yatam, bekas banduan pertama yang berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) ketika menjalani hukuman penjara serta menerima pengampunan penuh sempena Hari Keputeraan Baginda pada tahun 2024.
Menurut Selangor Royal Office, dalam pertemuan tersebut Baginda turut berkenan bertanya mengenai perkembangan kehidupan serta perancangan masa depan Dr. Malik selepas dibebaskan dari penjara.
Selangor Royal Office memaklumkan bahawa Baginda amat tersentuh dengan perjalanan hidup Malik dan berpandangan beliau wajar diberikan peluang kedua.

Menurut kenyataan itu, Baginda telah meneliti serta mempertimbangkan keputusan pengampunan tersebut selepas mengambil kira semua faktor yang dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 24 November 2024.
Baginda turut menasihati Malik supaya terus menjaga nama baik keluarga selain mengekalkan semangat untuk meningkatkan taraf kehidupan.
Selepas 24 tahun menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (LTS), hukuman yang tidak ada tarikh bebas, tidak dijatuhkan hukuman mati kerana ketika kesalahan dilakukan banduan berkenaan berumur di bawah 18 tahun, Dr Malik akhirnya dibebaskan pada 11 Disember 2024.
Beliau menjalani hukuman sejak 2001 pada usia 14 tahun, Malik kini berusia 39 tahun berjaya memperoleh Ph.D dalam bidang pentadbiran perniagaan, hasil usaha melanjutkan pelajaran semasa menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Menurut Selangor Royal Office, pertemuan itu berlangsung hampir sejam dalam suasana yang hening, sedih dan pilu.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa pertemuan berkenaan merupakan yang pertama melibatkan Tuanku Sultan Sharafuddin dengan seorang bekas banduan yang menerima pengampunan daripada Baginda.