
M Update, 10/03/2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka akan mengumumkan beberapa lagi inisiatif atau berita baik kepada rakyat menjelang sambutan Aidilfitri.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, pada pagi semalam Perdana Menteri telah pun mengumumkan tujuh langkah intervensi segera oleh Kerajaan MADANI bagi membantu meringankan beban rakyat menjelang Syawal.
Antara inisiatif yang diumumkan termasuk pengkreditan awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 yang akan bermula hari ini, penyaluran Bantuan Khas Kewangan 2026 kepada penjawat awam, pesara serta veteran, selain peluasan Program Jualan Rahmah MADANI di seluruh negara.
Selain itu, kerajaan turut memperluaskan inisiatif subsidi tiket penerbangan FlySiswa bagi memberi kemudahan kepada golongan pelajar.
Kenyataan itu disampaikan ketika taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi Perdana Menteri dan Facebook PMO Malaysia pada Isnin.
Menurut Tunku Nashrul, pihak PMO berharap segala bantuan, inisiatif serta langkah yang diumumkan kerajaan dapat membantu meringankan beban rakyat, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup selain membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Kerajaan MADANI akan terus komited melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian utama, selaras dengan aspirasi untuk membangunkan sebuah negara yang lebih adil, makmur dan berperikemanusiaan.