KPM TIDAK KOMPROMI JIKA WUJUD KECUAIAN DALAM KES KEMATIAN PELAJAR SEKOLAH BERASRAMA

M Update, 19/11/2026 – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi sekiranya siasatan mendapati wujud unsur kecuaian atau pelanggaran prosedur keselamatan berhubung kematian seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama di Kuala Kangsar, semalam.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata beliau memandang serius kejadian itu dan telah mengarahkan KPM memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh serta telus.
Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menghormati privasi keluarga mangsa, selain memberi ruang kepada pihak berkuasa melengkapkan siasatan.
Menurutnya, perbincangan bersama pihak berkaitan telah diadakan, manakala Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh turut hadir ke lokasi bagi menyelaraskan tindakan segera.
Dalam pada itu, Fadhlina memaklumkan kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian berfungsi dengan baik dan rakamannya telah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, beberapa pentadbir dan guru di sekolah berkenaan turut diberikan pelepasan tugas sementara bagi membantu proses siasatan.
Selain itu, Jemaah Nazir diarahkan hadir ke sekolah terbabit hari ini bagi meneliti aspek pengurusan serta pematuhan prosedur keselamatan.
Bagi menjaga kebajikan warga sekolah, murid yang tidak terlibat dengan peperiksaan pula dibenarkan pulang pada Jumaat ini.
Fadhlina turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta memaklumkan bahawa bantuan psikososial telah diberikan kepada mereka yang terkesan akibat kejadian itu.
Terdahulu, JPN Perak mengesahkan seorang pelajar Tingkatan Tiga ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Perak, semalam.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping dan dijadualkan menjalani bedah siasat pada jam 9 pagi ini.
