PERSELISIHAN FAHAM DALAM WHATSAPP DIPERCAYAI PUNCA PELAJAR TINGKATAN TIGA DIPUKUL

Foto Tular

Perselisihan faham dalam sebuah kumpulan aplikasi WhatsApp dipercayai menjadi punca seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga dipukul tiga pelajar lain di sebuah sekolah menengah di Tangkak pada 13 November lalu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 14 November kira-kira jam 12.09 tengah malam.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 8 pagi di dalam sebuah kelas dan kawasan pondok sekolah.

Mangsa mendakwa ditendang, ditumbuk serta disepak berulang kali sehingga mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kiri kepala, dada, perut dan lengan kiri.

Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.

Roslan berkata, polis berjaya mengenal pasti tiga pelajar lelaki berusia 15 tahun yang dipercayai terbabit dan hasil temu bual awal mendapati mereka mengakui penglibatan dalam kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Beliau menegaskan polis memandang serius perbuatan buli dan keganasan dalam kalangan pelajar serta mengingatkan ibu bapa dan pihak sekolah supaya sentiasa memantau tingkah laku anak-anak.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mendedahkan identiti pelajar terbabit.

Terdahulu, tular dua rakaman video dipercayai memaparkan kejadian buli di sebuah sekolah di Parit Bunga. Rakaman pertama menunjukkan seorang pelajar lelaki menumbuk dan menendang pelajar lain, manakala video kedua memaparkan beberapa pelajar menunjukkan isyarat lucah di dalam kelas.

Video berkenaan mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap isu buli di sekolah. Turut tersebar surat daripada HPSF yang memaklumkan mangsa mengalami trauma akibat kejadian itu.