CALON SPM DIMINTA TIDAK TERLALU TERTEKAN, UTAMAKAN REHAT SECUKUPNYA – FADHLINA

Foto: FB Fadhlina Sidek

M Update, 23/11/2026 – Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dinasihatkan supaya tidak membebankan fikiran dengan tekanan peperiksaan, sebaliknya mendapatkan rehat yang mencukupi sebelum menduduki ujian bertulis bermula hari ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, calon perlu memastikan mereka mendapat tidur yang cukup dan hadir ke dewan peperiksaan dalam keadaan tenang serta yakin dengan persediaan yang telah dilakukan.

Menerusi perkongsian di Facebook, beliau memahami pelbagai perasaan yang mungkin dialami calon selepas selesai menjalani ujian bertutur dan amali sebelum ini.

Menurutnya, calon tidak seharusnya terlalu memikirkan tekanan yang dihadapi, sebaliknya perlu percaya kepada usaha dan persiapan yang telah dilakukan selama ini.

“Anak-anak, selepas melalui ujian bertutur dan amali, hari ini bermulalah pula peperiksaan bertulis. Mesti macam-macam perasaan sekarang kan?

“Saya nak pesan, jangan terlalu beri tekanan kepada diri sendiri ya. Malam ini tidur awal, rehat secukupnya dan masuklah ke dewan peperiksaan esok dengan hati yang tenang.

“Percayalah pada segala usaha yang anak-anak lakukan selama ini,” katanya.

Dalam masa sama, Fadhlina turut mengingatkan ibu bapa dan guru agar terus memberikan sokongan moral serta mendoakan kejayaan calon sepanjang tempoh peperiksaan.

Beliau berkata, calon perlu diyakinkan bahawa usaha mereka sentiasa dihargai dan sokongan keluarga serta guru tidak bergantung kepada keputusan yang bakal diperoleh.

“Buat ibu ayah dan guru-guru, teruslah beri semangat dan titipkan doa. Anak-anak kita perlukan keyakinan bahawa apa pun keputusannya nanti kita tetap bangga dengan usaha mereka.

“Selamat maju jaya, anak-anak! Buat yang terbaik. Saya sentiasa mendoakan kalian,” katanya.