SINGGAH BELI BAHAN MASAKAN HARI LAHIR ANAK, IBU MAUT REMPUH POKOK

M Update, 24/11/2026 – Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di Jalan Kampung Tebuk Tengah, Simpang Empat, di sini, petang tadi.
Lebih menyedihkan, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja sebelum berhenti di sebuah kedai untuk membeli bahan masakan bagi menyediakan hidangan sempena hari lahir anaknya yang sepatutnya diraikan malam ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa, Noryshah Umar, 47, yang bekerja di kantin Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan menetap di Kampung Tebuk Tengah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal Yamaha Lagenda 115ZR dari arah Jalan Kampung Serdang menuju Kampung Tebuk Tengah.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal berkenaan dipercayai terbabas ke bahu kiri jalan sebelum merempuh sebatang pokok.
Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata, kemalangan berlaku di jalan lurus yang mempunyai satu lorong bagi setiap arah dalam keadaan cuaca baik serta permukaan jalan kering.
Pemeriksaan turut mendapati motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk proses bedah siasat yang dijadualkan pada jam 9 malam bagi mengenal pasti punca kematian.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sepatutnya semalam menjadi hari paling membahagiakan buat adik, namun Allah telah menentukan segalanya. Semoga adik sekeluarga diberi kekuatan dan ketabahan.
