M Update, 3/5/2019 – “Isteri saya sediakan kain kafan sendiri sebelum meninggal dunia,” kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Katanya, beliau dimaklumkan perkara itu oleh pembantu rumahnya selepas isterinya, Juriah Ahmad meninggal dunia jam 10.17 malam tadi. Juriah meninggal dunia di rumah mereka di Jalan Chawan, Seksyen 6/15, di sini semalam. Juriah, 73, meninggalkan empat anak dan sembilan cucu. Musa berkata, isterinya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan sebelum ini.
“Saya baru lepas membawa isteri menjalani pemeriksaan kesihatan, semuanya ok tak ada masalah. “Tetapi Selasa lalu, arwah tiba-tiba jatuh ketika hendak mengambil wuduk untuk menunaikan solat Zohor di rumah ini,” katanya.
Tambah Musa, selepas dua hari menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pakar perubatan meminta kebenaran untuk melakukan pembedahan pada bahagian kepala. Katanya, menurut pakar perubatan yang merawat isterinya, terdapat kesan darah beku pada otaknya membuatkan bahagian kepala membengkak. Bagaimanapun, kami sekeluarga membuat keputusan untuk tidak melakukan pembedahan yang berisiko itu.
Jadi kami membawa arwah pulang ke rumah sementara rawatan susulan dibuat,” katanya. Sementara itu, Musa berkata, jenazah Allahyarham isterinya akan dibawa ke Masjid Sultan Abdul Aziz, Seksyen 3, Petaling Jaya untuk dimandi dan dikafankan sebelum solat jenazah pada jam 8 pagi tadi. Jenazah kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara pada jam 10.30 pagi.
Allahyarham sebelum ini pernah menjadi Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) ketika Musa memegang jawatan Ketua Polis Negara pada 2006 hingga 2010. – SH Online