Input your search keywords and press Enter.

Henderson dedah rahsia Reds

M-Update 8/5/2019, LIVERPOOL: Jordan Henderson mendedahkan semangat berpasukan ‘istimewa’ Liverpool sebagai kunci kejayaan menakjubkan Reds menyingkirkan Barcelona di pentas separuh akhir Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. Liverpool kendalian Jurgen Klopp melakar salah satu kebangkitan paling menakjubkan dalam sejarah Liga Juara-Juara apabila mencatat kemenangan 4-0 pada aksi kedua di Anfield untuk mara ke final secara agregat 4-3 di Anfield.

Dua gol masing-masing daripada Divock Origi dan Georginio Wijnaldum menjadikan Liverpool pasukan ketiga dalam sejarah Piala Eropah/ Liga Juara-Juara mengatasi defisit tiga gol di pentas separuh akhir dan mara ke final.Kemenangan itu turut menyaksikan Reds menempah aksi final kedua Liga Juara-Juara berturut-turut dan dijadual bertemu sama ada Ajax atau Tottenham.

Selepas mengharungi malam magis menewaskan barisan bintang Barca yang diketuai Lionel Messi, kapten Liverpool, Henderson mendakwa semangat berpasukan dan sikap tidak kenal erti mengalah pemain sebagai kunci kejayaan pasukan itu.“Sukar dipercayai! Saya tidak fikir ramai memberikan kami peluang. Kami tahu ia sukar tetapi ia tidak mustahil,” kata Henderson kepada BT Sport.

“Keyakinan yang kami ada di bilik persalinan menakjubkan. Kami tahu kami boleh melakukan sesuatu yang istimewa di Anfield. Lihat kepada peminat dan pemain, ini adalah malam yang istimewa. “Kami mahu memulakannya dengan pantas. Kami memperoleh gol awal dan ia membantu. Ia bukan saja satu jaringan, ia memberikan mereka tekanan.  Kami tahu jika kamu menunjukkan personaliti dan juga semangat, kami akan berpeluang.”

Pemain tengah Belanda, Wijnaldum, yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua dan membantu Liverpool mengucar-kacirkan kerapuhan pertahanan Barca berkata pasukannya sentiasa bersedia untuk berjuang selepas kekalahan di Nou Camp. “Selepas perlawanan di Sepanyol, kami semua tetap yakin yang kami boleh menjaringkan empat gol di laman sendiri. Kami sekali lagi menunjukkan tiada apa yang mustahil dalam bola sepak.” – AFP

Leave a Reply