M Update, 9/5/2019 – Empat polis dan seorang lelaki cedera selepas pacuan empat roda dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Persimpangan Wisma Persekutuan, Kota Bharu semalam.
Dalam kejadian 1.45 pagi itu, anggota dan pegawai polis serta lelaki dipercayai terbabit dadah itu dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut. Pemandu dan penumpang kereta berusia 53 dan 57 tahun tidak cedera.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, anggota dan pegawai polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan sedang bertugas dalam operasi narkotik dengan menaiki Mitshubishi Storm. Katanya, ketika kejadian kenderaan yang dinaiki lima orang termasuk seorang suspek itu dari arah Jalan Bayam menghala ke IPK Kelantan.
Apabila tiba di simpang empat lampu isyarat Persimpangan Wisma Persekutuan kenderaan polis itu bergerak lurus sebelum datang sebuah kereta BMW X5 dari arah Jalan Berek 12 menghala ke Dusun Muda. Pacuan empat roda yang dipandu konstabel polis itu gagal mengelak sebelum merempuh pintu sebelah penumpang hadapan kereta itu,” katanya hari ini.
Menurutnya, akibat kemalangan itu semua yang berada di dalam pacuan empat roda mengalami kecederaan. Lima mangsa yang cedera dibawa ke HRPZ II untuk rawatan dengan menaiki ambulans. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – HM Online