Input your search keywords and press Enter.

MOT : Keputusan Pindaan Cermin Gelap Dikekalkan

M Update, 9/5/2019 – Pindaan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 kekal terpakai, meskipun mendapat bantahan pelbagai pihak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, ketika menyuarakan pendirian itu berkata keputusan yang diumumkan kelmarin adalah bersandarkan maklum balas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bengkel khas mengenai peraturan cermin gelap, pada Jun 2014. Katanya, rumusan bengkel berkenaan untuk mengekalkan ketelusan cahaya nampak (VLT) bagi cermin hadapan dan sisi pemandu, masing-masing berkadar 70 peratus serta 50 peratus masih dihormati.

Oleh itu, kita masih mengekalkan rumusan daripada bengkel terbabit, sebaliknya pindaan penggunaan cermin gelap pada sisi kiri dan kanan penumpang, selain bahagian belakang adalah selari piawaian antarabangsa. Banyak kereta import, termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) dari Jepun yang tidak melepasi piawaian (peraturan cermin gelap ditetapkan di negara) kita.

Disebabkan itu, pemilik kenderaan import ini terpaksa menyewa cermin dengan kadar VLT mengikut piawaian di kedai aksesori kereta pada kadar RM800 semata-mata ingin melepasi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya pada sidang media, di sini, hari ini. Berkuat kuasa semalam, penggunaan lapisan filem atau cermin gelap tanpa had dibenarkan pada cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan.

Ia bermakna, cermin berkenaan boleh menggunakan lapisan filem atau cermin gelap hitam sepenuhnya, berbanding peraturan sekarang yang menetapkan kadar ketelusan cahaya tampak pada 30 peratus. Kadar ketelusan cahaya tampak bagi bahagian cermin depan dan cermin kiri serta kanan pemandu, masing-masing masih kekal 70 dan 50 peratus seperti peraturan sedia ada.

Pindaan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 itu dibuat selepas mendengar keluhan orang ramai, selain selaras Peraturan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) No 43: Peruntukan Seragam Mengenai Kelulusan Bahan Kaca Keselamatan dan Pemasangannya Pada Kenderaan.

Mengulas aspek keselamatan, Anthony Loke berkata, Datuk Seri Shaharuddin, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan pertemuan dengan PDRM bagi menyelaras beberapa perkara, termasuk usaha risikan dan pelaksanaan sekatan jalan susulan pindaan peraturan cermin gelap. Susulan peredaran semasa, katanya, wujud cara lain yang berupaya menggantikan kaedah sedia ada untuk menjejaki penjenayah, termasuk penggunaan sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan teknologi pengecaman wajah.

“Ingin saya tegaskan bahawa pindaan peraturan cermin gelap mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 adalah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, justeru sewajarnya kita tiada keperluan untuk mengadakan rundingan dengan PDRM.

Bagaimanapun, kita ambil maklum balas mereka sebelum ini sebelum mengemukakan pindaan peraturan cermin gelap,” katanya. – HM Online

Leave a Reply