M-Update,16/5/2019, LEEDS, England: Derby County kian hampir kembali ke Liga Perdana selepas mara ke final playoff Liga Kejuaraan dengan mencatat kemenangan 4-3 menerusi agregat ke atas Leeds United pagi tadi. Derby County ketinggalan 0-2 secara agregat tetapi bangkit untuk mencatat kemenangan 4-3 selepas dua perlawanan.
Jack Marriott yang masuk sebagai pemain gantian menyumbat dua gol buat Derby, termasuk gol kemenangan minit ke-85 dalam aksi tegang yang menyaksikan kedua-dua pasukan bersaing dengan 10 pemain. Pengurus Derby, Frank Lampard, kini bakal berdepan Aston Villa kendalian bekas rakannya di Chelsea, John Terry dalam aksi playoff di Stadium Wembley pada 27 Mei ini.
Leeds mendahului pada minit ke-24 apabila sepakan percuma Kalvin Phillips pantas disambar Stuart Dallas untuk merembat dari dalam petak penalti. Jaringan itu membolehkan Leeds mendahului 2-0 menerusi agregat namun sebelum rehat, pertahanan dan penjaga gol yang kelam kabut menghadiahkan Derby gol mudah apabila Marriott mudah menolak masuk gawang yang terbuka.
Seminit kemudian, Derby mendahlui 2-1 dengan gol pintar Harry Wilson, yang kemudian menambah gol ketiga Derby pada minit ke-58 selepas menyempurnakan penalti. – Reuters