M Update, 24/5/2019 – Peniaga dalam talian dinasihatkan untuk tidak menjual sebarang kelengkapan dan peralatan pakaian seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara terbuka kerana dikhuatiri boleh mengundang perlakuan jenayah seperti penyamaran.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan hari ini, berkata pihaknya mengesan terdapat peniaga menjual butang baju Melayu dengan menggunakan logo PDRM secara dalam talian. Beliau berkata kelengkapan dan peralatan PDRM hanya boleh dijual kepada pegawai polis termasuk Sukarelawan Simpanan Polis, Polis Bantuan, Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) dan Kadet Polis dengan menunjukkan Kad Sijil Pelantikan tersebut.
Kesahihan status pembeli dan kad kuasa ditunjukkan secara dalam talian tidak mungkin dipastikan. Pembeli juga dikehendaki menandatangani di atas pembelian yang dibuat, proses ini tidak dapat dilakukan sekiranya penjualan dalam talian. Setiap peniaga berlesen juga dikehendaki mencatat butiran pembeli dalam Buku Daftar Penjualan yang ditandatangani pada setiap pembelian dilakukan,” katanya. Beliau berkata peniaga dalam talian yang ingkar dengan peraturan ditetapkan akan berdepan tindakan seperti pembatalan permit perniagaan atau dikenakan tindakan undang-undang. – Bernama