M Update, 20/9/2019 – Kementerian Pertahanan menyasarkan kutipan Kempen Tabung Pahlawan 2019 akan mencapai RM6 juta.
Berikutan itu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata pihaknya sudah merangka pelbagai program termasuk Majlis Makan Malam Amal (Oktober 2019), Larian Amal Veteran ATM dan ‘flashmob’ bagi memastikan sasaran dapat dicapai. Sumbangan tabung berkenaan akan digunakan sepenuhnya bagi menjaga kebajikan veteran dan ahli keluarga secara menyeluruh terutama veteran kelainan upaya (VKU), balu veteran, mereka yang terbabit dengan musibah kebakaran dan bencana alam.
Diharap sumbangan kepada kempen Tabung Pahlawan ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan bagi membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tanggungan pada masa depan. Justeru, saya menyeru kepada semua warga Malaysia yang prihatin supaya dapat menghulur sumbangan ikhlas sebagai tanda terima kasih atas hadiah keamanan dan keselamatan yang kita nikmati pada masa ini.
Sememangnya wang ringgit bukanlah tukaran kepada keamanan, namun ia adalah lambang kita menghargai anggota tentera yang banyak berkorban dan berjasa. Budi yang digalang ganti dengan darah, keringat dan air mata oleh pahlawan serta keluarga mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Tabung Pahlawan 2019 yang disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri merangkap Penaung tabung berkenaan, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di sini, sebentar tadi. Turut hadir, Ketua Setiasaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Selaku Menteri Pertahanan, Mohamad berjanji untuk terus berusaha memastikan kebajikan anggota ATM terus terbela dan beliau sendiri akan berjumpa dengan syarikat korporat bagi meminta mereka menyalurkan derma kepada Kempen Tabung Pahlawan. – BH Online