M Update, 30/9/2019 – Penganjuran Karnival Rahmah 2019 (KR19) mencapai objektifnya berlandaskan edutainment yang menggabungkan elemen pendidikan dan hiburan untuk semua pengisian selama tiga hari bermula Jumaat lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata karnival yang julung kali diadakan sejak Pakatan Harapan (PH) menjadi Kerajaan Persekutuan akan dijadikan acara tahunan berpaksikan enam kluster berasaskan teras RAHMAH iaitu Rahmah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat. Kejayaan ini turut mendapat perhatian masyarakat bukan Islam dengan rekod kehadiran 20 peratus dari lebih 100,000 pengunjung.
“Kita juga berhasrat untuk memperluaskan karnival ini pada masa akan datang dengan mengadakan secara tahunan dan dibawa menjelajah ke setiap negeri bagi memastikan objektif karnival terbabit dapat disampaikan.
Biarpun penganjuran karnival ini berjaya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan post mortem bagi melihat perkara dan isu yang boleh diperbaiki sekali membolehkan penganjurannya akan datang lebih mencapai matlamat secara meluas,” katanya. Mengulas mengenai kehadiran masyarakat bukan Islam, Mujahid berkata, apa yang dilihat, masyarakat bukan Islam turut hadir dengan melihat sendiri pengisian yang disediakan.
Katanya, buat pertama kali, kita menunjukkan apa hasrat kerajaan baharu khusus dalam pentadbiran Islam dengan dasar negara RAHMAH yang berteraskan Rahmatan Lil Alamin. Mereka (pengunjung bukan Islam) datang melawat pameran dan ada yang juga membeli barang-barang yang dijual di tapak karnival. Mereka juga tidak menganggap ini (karnival) program Islam sebaliknya memberi manfaat semua pihak,” katanya. – BH Online