Input your search keywords and press Enter.

Bayi 3 Bulan Perlu RM80,000 Bagi Pembedahan Jantung

M Update, 4/11/2019 – Tanpa mesin pernafasan, badannya menjadi biru, nafasnya sesak, itu derita seorang bayi malang penghidap penyakit jantung yang kini telah sebulan bernafas dengan bantuan mesin.

Bayi itu, Nur Aqilah Syifa Muhammad Ferdaus terpaksa menjalani pembedahan segera, namun kos pembedahan yang berjumlah RM80,000 meruntun jiwa ibu dan bapanya. Muhammad Ferdaus Omar, 32, berkata mereka tiada pilihan lain selain merayu bantuan kewangan kerana dia hanya penjual ikan dengan pendapatan RM1,200 sebulan manakala isterinya seorang suri rumah.

“Kata doktor, pembedahan itu perlu dijalankan secepat mungkin, sebaiknya minggu ini. Kami kesuntukan masa dan tidak nampak jalan lain,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat One Hope Charity and Welfare Berhad di sini, hari ini.

Katanya, Nur Aqilah Syifa yang dilahirkan pada 17 Ogos mula menunjukkan tanda-tanda menghidap penyakit jantung ketika menginjak usia dua bulan dan kira-kira sebulan lepas, Nur Aqilah Syifa mengalami batuk tanpa henti sehingga tidak tidur semalaman.

Ibu bayi itu, Nur Syahila Shahidan, 28, berkata ekoran keadaan bayinya itu, dia dan suami segera membawa anak mereka ke klinik swasta namun disaran untuk terus ke unit kecemasan Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis.

“Bila di hospital, dia (Nur Aqilah Syifa) bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan dan apabila doktor cuba untuk tarik (tiub oksigen), badan dia terus jadi biru dan tidak boleh bernafas. Sekarang ini, sudah sebulan anak kami hidup bergantung pada mesin,” kata Nur Syahila.

Nur Aqilah Syifa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani pemeriksaan pada 11 Okt lepas selepas dinasihat untuk mendapatkan pandangan pakar dan hasil pemeriksaan mendapati bayi tersebut mempunyai dua lubang pada jantung dan saluran darah yang sempit.

“Kami memandu selama tiga jam ke sini (pejabat One Hope Charity) setelah dimaklumkan rakan. Memang kami berharap sangat melalui saluran ini, orang ramai dapat membantu anak kami,” katanya.

Pengerusi One Hope Charity and Welfare Berhad, Chua Sui Hau berkata pembedahan Nur Aqilah Syifa akan dilakukan di Hospital Gleneagles Pulau Pinang sejurus bantuan kewangan mencukupi.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menyumbang ke akaun Public Bank Berhad One Hope Charity and Welfare Berhad bernombor 3193433435, atau menghubungi talian 016-4192192, 019-2322192 atau 04-5059800 untuk sebarang pertanyaan. Tambahnya, penderma dinasihat untuk mengirim slip derma berserta nombor telefon melalui e-mel info@onehopecharity.com.my untuk tujuan pemberian resit. – BERNAMA

Leave a Reply