M Update, 29/11/2019 – Pelaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP) untuk murid sekolah rendah tahun depan, dibuat secara berfasa dengan tumpuan kepada sekolah yang merekodkan jumlah murid dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) tertinggi.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pihaknya mendapati terdapat ketidaksediaan bagi beberapa pihak, terutama pihak pelaksana di bawah kantin dan pembekal, masyarakat serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), jika PSP mahu dilaksanakan serentak di semua sekolah.
“Kita ambil maklum, kita mahukannya kalau boleh seberapa segera (dilaksana PSP) namun terdapat kurang persiapan, maka MTEN (Majlis Tindakan Ekonomi Negara) mencadangkan kepada kita, ianya perlu dilaksana secara bertahap.
“PSP akan dilaksana secara berfasa. Fasa satu dilaksana di setiap negeri mengikut jumlah murid B40 tertinggi. Kita akan pilih sekolah yang mempunyai bilangan murid B40 tinggi dan antara pertimbangan itu juga adalah (kesediaan) pihak kantin dan pembekal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, semalam.
Maszlee berkata, pada masa sama, MTEN sedang menentukan pembiayaan jangka masa panjang PSP supaya pelan fasa pelaksanaan seterusnya dapat dilaksana dengan berkesan.
“Ini program jangka masa panjang untuk 2.7 juta murid. Antara pertimbangan untuk berjaya pada masa depan dan kemampanannya, beberapa perkara perlu diteliti seperti kesediaan pihak sekolah dan kantin, komuniti, aspek pengurusan pembaziran.
“Kita tidak mahu membazir. Tidak mahu program ini datang sekadar memenuhkan perut, tetapi memenuhkan minda. Kita mahu latih mereka (murid) bukan sekadar makan, tetapi menguruskan adab makan dan mengurus sisa makanan.
Kita ingin latih mereka sayang pada alam sekitar, tahu menguruskan bahan sisa buang,” katanya menjawab soalan ramai Ahli Parlimen dalam sesi perbahasan terdahulu, mengapa peruntukan PSP tidak disebut dalam Belanjawan 2020 biarpun cadangannya sudah digembar-gemburkan sejak beberapa bulan lalu. – BH Online