M Update, 10/2/2020 – Jemaah Masjid Temerloh Jaya (MTJ), Temerloh pagi ini tergamam melihat Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mencemar duli menunaikan solat Subuh bersama mereka.
Keberangkatan Tengku Hassanal itu menjadi detik istimewa kepada 800 jemaah di masjid yang sebelum ini tular berikutan sentiasa penuh pada setiap waktu solat meskipun pada waktu Subuh. Pengerusi MTJ, Dr Abdullah Ismail berkata, pihaknya hanya mengetahui selepas melihat kehadiran pegawai baginda di perkarangan masjid pada jam 6 pagi.
Menurutnya, beliau langsung tidak mengetahui perkara itu dan dimaklumkan baginda ingin menunaikan solat subuh di masjid tersebut.
“Hari ini adalah satu detik bermakna buat semua jemaah kerana baginda sudi menunaikan solat bersama rakyat jelata di masjid ini. Sebaik tiba, baginda bersalaman dengan jemaah yang ada dan terus ke saf pertama untuk menunaikan solat sunat subuh sebelum bersama mengerjakan solat fardhu bersama jemaah yang ada,” katanya.
Dr Abdullah berkata, selepas selesai baginda meluangkan masa bersalaman dengan jemaah pelbagai peringkat usia yang turut gembira dengan kehadiran Tengku Hassanal buat julung kalinya di masjid berkenaan.
“Tanpa sebarang protokol, baginda sangat merendah diri dan turut meluangkan masa mendengar sedikit taklimat mengenai pengurusan dan aktiviti masjid ini. Baginda kelihatan teruja dan gembira apabila melihat suasana padat di masjid yang dipenuhi jemaah dan memuji suasana ini,”katanya.
Baginda meluangkan masa kira-kira satu jam 15 minit sebelum berangkat pulang. – HM Online