M Update, 8/4/2020 – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memutuskan untuk tidak mengadakan majlis berbuka puasa dan solat terawih bersama rakyat di masjid seluruh negeri pada Ramadan tahun ini.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu diambil oleh Baginda selepas mengambil kira faktor keselamatan susulan penularan wabak berbahaya COVID-19 yang masih belum dapat dibendung sepenuhnya selain bagi mengelak rakyat daripada risiko terkena jangkitan.
“Sudah menjadi tradisi kepada Baginda pada setiap bulan Ramadan, akan mengadakan majlis berbuka puasa bersama rakyat di daerah seluruh Selangor dan menyampaikan sumbangan Hari Raya daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada asnaf serta fakir miskin di negeri ini.
“Walau bagaimanapun pada bulan Ramadan tahun ini, Sultan Selangor dengan berat hati memutuskan untuk tidak mengadakan majlis berbuka puasa dan solat tarawih bersama rakyat,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan duit raya serta agihan zakat kepada asnaf serta golongan yang memerlukan akan diteruskan, cuma ia tidak akan disampaikan pada majlis berbuka puasa seperti sebelum ini. Katanya, untuk itu, LZS akan menyalurkan agihan zakat dan bantuan Hari Raya sebanyak RM500 kepada setiap seorang penerima dengan kaedah yang lebih selamat dan efisyen, menerusi pengkreditan terus ke akaun bank penerima.
“Manakala, bagi penerima yang tidak memiliki akaun bank, LZS akan memberikan baucer tunai untuk dikeluarkan di mana-mana cawangan Bank Islam,” katanya.
Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor juga turut menasihatkan umat Islam supaya menyambut bulan Ramadan kali ini dengan menumpukan sepenuhnya kepada amal ibadat di samping sentiasa berwaspada, serta mematuhi panduan dan arahan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak Kerajaan.
“Baginda turut mendoakan supaya seluruh rakyat dijauhi daripada bala bencana serta dilindungi Allah SWT dan berharap semoga wabak COVID-19 yang melanda negara ini dapat segera berakhir dan rakyat dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa, sihat sejahtera, aman dan sentosa,” katanya.