M Update, 24/4/2020 – Kerajaan akan membenarkan pergerakan penghantaran pulang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, termasuk politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bermula Isnin ini secara berperingkat.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penghantaran pulang itu dijangka membabitkan kira-kira 53,000 pelajar dan hanya membabitkan kawasan zon hijau dengan perjalanan dibuat dari jam 9 malam hingga 9 pagi bagi mengelakkan kesesakan dan pergerakan besar di waktu siang
Pelajar ini juga akan menjalani saringan gejala COVID-19 walaupun sudah lebih sebulan berada di kampus sebelum menaiki bas walaupun tiada gejala dan mereka akan dibekalkan dengan makanan dan topeng muka.
“Mereka yang gunakan bas akan dihadkan dan dipastikan dari segi penjarakan sosial. Jika tempat duduk untuk dua orang hanya boleh digunakan seorang, bermakna kalau bas itu untuk 40 penumpang, hanya 20 penumpang dibenarkan, ” katanya pada sidang media hari ini.
Pelajar yang dibenarkan pulang akan diambil dari kampus dengan bas dan terus di bawa ke daerah masing-masing dan dihantar ke balai polis atau pejabat daerah sebelum barisan hadapan di sana menghantar mereka terus ke rumah. Pelajar yang memiliki kenderaan sendiri juga dibenarkan memandu pulang dengan syarat perjalanan tidak merentas negeri dan mereka hanya memandu seorang sahaja.
Susulan pengumuman perlanjutan tempoh PKP fasa ketiga hingga 28 April pada 10 April lalu, gabungan beberapa persatuan mahasiswa menggesa kerajaan membenarkan penuntut yang masih berada di kampus dibenarkan pulang ke negeri masing-masing secara berperingkat.
Kerajaan bagaimanapun pada 13 April lalu memutuskan semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang masih berada di kampus tidak dibenarkan pulang ke rumah atau kampung masing-masing sepanjang PKP berlangsung.
Namun pada Selasa lalu, kerajaan mengumumkan sedia membenarkan kira-kira 100,000 pelajar IPT awam dan swasta di seluruh negara yang sedang kuarantin di kampus untuk pulang ke rumah masing-masing. – BH Online