Input your search keywords and press Enter.

MKN Rangka SOP Khusus Di 3 Zon

M Update, 24/4/2020 – Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang membuat prosedur operasi standard (SOP) khusus berhubung pergerakan yang boleh dilakukan di dalam zon hijau, kuning dan merah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya mengarahkan MKN berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum SOP itu dibentangkan dalam waktu terdekat dalam Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri.

“Kita juga ada buat SOP membabitkan pergerakan dari luar atau masuk kerana sempadan perlu dijaga sebab kita tidak mahu ada yang dari zon merah memasuki zon hijau.

“Sejauh mana kelonggaran itu boleh diberi, MKN akan berbincang dengan KKM dan PDRM untuk mengeluarkan SOP khusus mengenai tiga zon berkenaan, ” katanya pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) harian, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan sama ada Perlis yang diwartakan sebagai negeri pertama zon hijau akan diberi kelonggaran untuk menamatkan PKP lebih awal dengan SOP tertentu.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan KKM sama ada untuk menyambung Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP) di Bangunan Selangor Mansion di Jalan Masjid India, di sini susulan pertambahan kes COVID-19 yang mendadak semalam.

Sebelum ini, katanya kerajaan pernah menyambung tempoh PKPD di Simpang Renggam dan kaedah sama juga akan dilaksanakan di tempat lain jika ada adanya pertambahan kes mendadak. Semalam, Selangor Mansion mencatatkan pertambahan 22 lagi kes positif menjadikan 107 kes terkumpul setakat ini. – BH Online

Leave a Reply