M Update, 12/6/2020 – Hanya membayar RM200 hingga RM300, lapan warga negara Indonesia memperoleh kad pengenalan palsu, sebelum menggunakannya untuk mendapatkan pekerjaan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, berkata lapan individu itu dikesan menggunakan kad pengenalan palsu ketika mahu memohon pekerjaan di sebuah kilang dekat Meru di sini.
“Pada Rabu lalu, seorang lelaki tempatan membawa lapan individu iaitu lima lelaki serta tiga wanita warga Indonesia untuk sesi temu duga di sebuah kilang.
“Ketika anggota Polis Bantuan (PB) kilang berkenaan memeriksa kad pengenalan seorang daripada lapan individu itu, pemilik kad pengenalan terbabit kelihatan cemas.
“Tindakan individu berkenaan menimbulkan rasa curiga, justeru anggota berkenaan bertindak memeriksa semua kad pengenalan dan mengesyaki ia palsu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, semalam.
Beliau berkata, anggota Polis Bantuan berkenaan kemudian memaklumkan majikannya, sebelum membawa kesemua suspek ke Balai Polis Meru. Katanya, hasil siasatan awal mendapati lapan keping kad pengenalan yang diserahkan adalah palsu dan suspek mengaku bahawa kad pengenalan berkenaan diperoleh daripada individu berasingan yang tidak dikenali kira-kira setahun yang lalu.
“Suspek juga memaklumkan, mereka membayar wang RM200 hingga RM300 untuk mendapatkan kad pengenalan berkenaan,” katanya.
Nurulhuda berkata, sehingga kini 11 suspek sudah ditahan termasuk ejen pekerjaan untuk membantu siasatan dan kesemua suspek di reman selama empat hari bermula semalam. Katanya, siasatan akan diteruskan untuk mengesan suspek yang masih bebas dan akan merujuk kad pengenalan kepada Jabatan Pendaftaran Negara.