M Update, 19/6/2020 – “RINDU dengan Masjidil Haram di Makkah terubat apabila datang melawat Masjid Razaleigh,” kata Salmah Kadir, 56, dari Kuala Lumpur ketika ditemui singgah di masjid itu di Gua Musang, hari ini.
Dia mengakui Masjid Razaleigh terletak di Bandar Lama, Gua Musang menyerupai Masjidil Haram dan teruja melihat keindahannya. Katanya, sebelum ini dia mengetahui masjid itu melalui media dan belum berkesempatan melawatnya walaupun ia belum siap sepenuhnya.
“Apabila kebetulan kebebasan rentas negeri dibenarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bolehlah kami datang melawatnya.
“Alhamdulillah cukup indah dan betul-betul menyerupai Masjidil Haram kerana reka bentuk serta mempunyai sembilan menara,” katanya.
Dia antara puluhan pengunjung yang tidak putus-putus melawat Masjid Razaleigh yang dibina bermula 2016 dengan kos RM28 juta. Difahamkan masjid itu sepatut dibuka untuk solat sunat Terawih Ramadan lalu tetapi ditangguhkan kerana penularan Covid-19.
Seorang lagi pengunjung dari Pahang, Mustafa Alias, 59, pula berkata, dia sudah lama menyimpan niat untuk melawat masjid ini dua bulan lalu. Katanya, tetapi terhalang dengan halangan perjalanan yang tidak dibenarkan rentas negeri berikutan pelaksanaan arahan PKP.
“Masjid ini yang menyerupai Masjidil Haram dan boleh dijadikan destinasi pelancongan bagi umat Islam negara ini,” katanya.
Sumber : HM Online