M Update, 24/9/2020 – Malaysia sekali lagi merangkul anugerah ‘Pelancongan Kesihatan dan Perubatan: Destinasi Terbaik Tahun Ini’, pada Anugerah Pelancongan Perubatan 2020 di London, semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengiktifaran itu didedikasikan kepada semua pemegang taruh sektor penjagaan kesihatan Malaysia, atas usaha cemerlang mereka.
“Anugerah ini didedikasikan kepada semua pemegang taruh di #malaysiahealthcare prestasi cemerlang pada 2019/2020. Sekali lagi setinggi-tinggi tahniah kepada keseluruhan pasukan,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Sementara itu Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) dalam satu kenyataan menyatakan, pengiktirafan kali keempat berturut-turut itu, sekali gus meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai Pusat Penjagaan Kesihatan Mengagumkan Di Dunia dan mencerminkan komitmen negara dalam sektor penjagaan kesihatan, khususnya ketika berdepan pandemik COVID-19.
Edisi anugerah itu kali ini, turut menyaksikan MHTC mengekalkan kemenangannya kali keempat bagi anugerah Kluster Terbaik Tahun ini.
“Penerimaan anugerah Destinasi Terbaik Tahun Ini dan Kluster Terbaik Tahun ini sekali lagi menunjukkan keyakinan global terhadap kecemerlangan prasarana kesihatan Malaysia, untuk pelancong penjagaan kesihatan,” menurut kenyataan itu.
Beberapa institusi kesihatan swasta Malaysia turut meraih kemenangan dalam anugerah berprestij tersebut, termasuk Sunway Fertility Centre (Anugerah Klinik Fertility Antarabangsa Terbaik Tahunan); Prince Court Medical Centre (Hospital Antarabangsa Terbaik Tahunan); Sunway Eye Centre (Klinik Mata Antarabangsa Terbaik Tahunan dan Thompson Hospital Kota Damansara (Inisiatif Kualiti Terbaik). – BERNAMA