M Update, 25/9/2020 – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengarahkan anggotanya yang bertugas mengawal sempadan negara di Sabah agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di negeri itu.
Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata Markas Formasi yang bertugas di Sabah telah diarahkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memastikan setiap anggota yang bertugas mematuhi SOP ditetapkan kerajaan dan ATM sama ada ketika bertugas atau pulang selepas menjalankan operasi.
“Contohnya jika mereka bertugas, bila balik dari lapangan ke rumah, mereka ini mandi dan tukar pakaian dulu, baru dibenarkan balik ke rumah masing-masing. Dengan cara begitu, kita dapat kawal (virus) luar dari masuk dalam rumah,” katanya kepada media selepas majlis graduasi dan penyampaian Diploma Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia semalam.
Beliau berkata SOP ditetapkan perlu dipatuhi dengan ketat bagi mengelak penularan dalam kalangan anggota dan pegawai yang bertugas di sana. – BERNAMA