M Update, 05/01/2021 – Lapan kawasan di wilayah Hulu Selangor yang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisek, 3 Januari lalu, pulih sepenuhnya jam 6 pagi, hari ini.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), berkata pengguna disaran mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.
LRA Sungai Selisek sebelum ini dihenti tugas berikutan banjir pada 5.40 petang kelmarin.
Ia menyebabkan lapan kawasan di wilayah itu terjejas iaitu Kampung Sungai Nilam/ Kampung Seri Pagi, Kampung Lalang, Rumah Murah PKT 2 Sungai Selisek, Kampung Serigala, Kampung Orang Asli, Kampung Bahom, Kampung Sekolah/Kuarters Klinik dan Kampung Gesir Tengah.