M Update, 20/01/2021 – Tindakan mana-mana pihak mencabar Proklamasi Darurat dan Ordinan Darurat ke mahkamah, adalah tidak wajar mengikut prinsip pengasingan kuasa.
EXCO Pemuda UMNO, Muhamad Nur Aizat Noor Azam, berkata pihak berkenaan seharusnya memahami terlebih dahulu tujuan undang-undang darurat wujud.
“Paling penting ialah pada ketika ini, sebarang tindakan dengan tujuan bersifat politik semata-mata harus dihentikan demi memberi fokus dan kerjasama sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Agong serta kerajaan supaya negara dapat menghadapi gelombang pandemik COVID-19 yang amat membimbangkan ini dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pada asasnya, Yang di-Pertuan Agong sudah bertitah, baginda berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku akibat COVID-19.
“Atas dasar itu, Yang di-Pertuan Agong sudahpun mengeluarkan Proklamasi Darurat. Susulan Proklamasi Darurat itu, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 sudah dimasyhurkan bawah Perkara 150 (2b) oleh Yang di-Pertuan Agong atas dasar yang sama,” katanya.
Beliau berkata, jelas bahawa perkataan ‘berpuas hati’ dan ‘boleh’ dalam Perkara 150 (1) dan 150 (2b) Perlembagaan memberi maksud bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara dalam membuat sesuatu Proklamasi Darurat.
Malah, katanya, tiada dinyatakan dalam mana-mana peruntukan bawah Perkara 150 bahawa baginda wajib bertindak atas nasihat Kabinet ataupun Perdana Menteri dalam membuat apa-apa Proklamasi Darurat.
“Perkara ini juga adalah jelas apabila baginda menolak nasihat kerajaan bagi satu Proklamasi Darurat pada tahun lalu.
“Saya berpandangan kebijaksanaan, budi bicara, kewajaran dan ‘proportionality’ keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam membuat Proklamasi Darurat dan Ordinan tidak boleh sama sekali dipersoalkan di mahkamah atas apa-apa dasar sekalipun seperti dijelaskan bawah Perkara 150(8),” katanya.
Beliau berkata, sebarang cabaran terhadap nasihat diberikan oleh Kabinet atau Perdana Menteri kepada baginda, secara efektifnya dan tidak langsung adalah suatu cabaran terhadap kesahihan Proklamasi Darurat dan Ordinan itu.
“Ini sudah semestinya tidak dibenarkan oleh peruntukan Perlembagaan, iaitu suatu ‘ouster clause’ bawah Perkara 150(8) Perlembagaan, mahkamah hanya mempunyai bidang kuasa mendengar dan memutuskan tindakan undang-undang bagi mencabar nasihat diberikan oleh Kabinet dan Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong sekiranya ‘ouster clause’ itu didapati tidak sah oleh mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya segala nasihat eksekutif terutama Kabinet boleh dicabar dan dipersoalkan di mahkamah, sesebuah kerajaan itu tidak boleh berfungsi dengan baik dalam mentadbir negara.
“Ini juga menyebabkan satu situasi ‘floodgate’ di mana cabaran terhadap setiap nasihat eksekutif bawah Perlembagaan boleh dibawa dan dipersoalkan di mahkamah.
“Perkara ini perlu diberi perhatian memandangkan ia boleh menetapkan satu ‘precedent’ (duluan) yang tidak konsisten dengan prinsip pengasingan kuasa,” katanya.