Input your search keywords and press Enter.

Karnival Penjana Kerjaya Tawar Lebih 10,000 Kekosongan Jawatan

M Update, 25/02/2021 – Sebanyak 10,802 kekosongan jawatan ditawarkan sempena Karnival Penjana Kerjaya Kebangsaan 2021 Kementerian Sumber Manusia.

Dalam satu kenyataan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memaklumkan karnival yang disertai 78 majikan pelbagai industri itu menerima sambutan menggalakkan apabila seramai 12,303 peserta membuat pendaftaran awal setakat semalam, sejak pendaftaran bagi sesi temuduga terbuka dibuka pada 18 Februari lalu.

Menurut PERKESO, daripada jumlah itu, seramai 3,701 adalah graduan baharu, 5,427 individu tidak bekerja manakala 110 calon Orang Kurang Upaya (OKU). Peserta yang mendaftar adalah belia dalam kumpulan umur antara 22 hinga 25 tahun iaitu seramai 4,585 orang.

“Karnival Penjana Kerjaya Kebangsaan 2021 membuka tirainya semalam dengan Siri Webinar Kerjaya selama sehari. Program ini disusuli dengan sesi temuduga secara maya selama tiga hari bermula hari ini sehingga 26 Februari 2021.

Secara keseluruhannya, sesi temuduga terbuka ini disertai oleh 78 majikan daripada pelbagai industri yang menawarkan 10,802 kekosongan jawatan.

Peluang pekerjaan yang terbanyak ditawarkan oleh sektor pemborongan dan peruncitan dengan kekosongan jawatan tertinggi iaitu 3,010 jawatan, diikuti sektor pembuatan dengan 2,438 jawatan, sektor perkhidmatan lain dengan 2,286 jawatan dan sektor kesihatan awam dan sosial dengan 1,046 jawatan.

Peluang pekerjaan yang ditawarkan ini meliputi 3,492 jawatan eksekutif dan 6,910 jawatan bukan eksekutif. Selain itu, sebanyak 1,896 jawatan kosong juga disediakan buat golongan OKU.

Antara jawatan yang ditawarkan majikan menerusi program ini adalah jurutera, pengurus jualan, peguam, juruteknik, eksekutif pemasaran, penyelia perusahaan, pembatu audit dan tukang masak. Majikan yang terbabit merangkumi sektor awam dan swasta termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Lembaga Zakat Malaysia, Air Selangor, ExxonMobil, CIMB Bank Berhad, Genting Malaysia serta Top Glove.

PERKESO meminta rakyat Malaysia yang sedang mencari pekerjaan atau ingin meneroka peluang pekerjaan lain untuk menyertai Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021 KSM dengan mendaftar di http://careerfair.perkeso.gov.my.

Bagi pencari kerja, PERKESO meminta mereka segera mendaftar di portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MyFutureJobs di pautan http://www.myfuturejobs.gov.my di mana terdapat lebih 150,000 kekosongan jawatan aktif untuk dipohon selain menerima bantuan padanan carian pekerjaan. – BH Online